Apabila telah selesai pemilihan yang berasaskan agama, hampir sempurnalah langkah-langkah yang menuju ke alam perkahwinan sesuai dengan ajaran Islam.
Seterusnya, mulalah kita membangunkan rumahtangga muslim di atas asas yang teguh. Asas ini akan merealisasikan kemantapan, ketenangan dan kebahagiaan yang sejati yang selama ini dicari-cari oleh banyak keluarga pada zaman ini. Kebahagiaan itu bukan dari luar diri, tidak pula dapat dicari dengan harta, tempat kediaman, pakaian dan dengan segala perhiasan rumahtangga.
Kebahagiaan diperolehi dari dalam diri sendiri, dari perasaan takwa kepada Allah, kerana Allahlah yang mengurniakan kebahagiaan, yang memberi mawaddah dan rahmah cinta dan kasih sayang di antara suami isteri. Allah berfirman:
“Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.” [Ar-Rum,30:21]
Kita tidak memandang kebahagiaan itu di dalam harta yang banyak, akan tetapi orang yang bertakwa itulah orang yang berbahagia.
No comments:
Post a Comment