Assalamualaikum..Selamat Datang Ke Blog Saya..Harap Memberi Manfaat Kepada Semua :)

10 Tips Bagaimana Menjadi Blogger Yang Berjaya


1. Pilih Topik Yang Betul Untuk Blog Anda

Terdapat perdebatan atau perselisihan pendapat mengenai kaedah dan cara memilih topik yang betul untuk sesuatu blog. Sesetengah orang akan menyarankan agar topik perlu menjurus kepada ‘niche’ yang mendatangkan keuntungan semata-mata. Sesetengah yang lain pula, memberi pendapat supaya tidak hanya menumpukan kepada topik yang memberikan keuntungan pada peringkat awal berblogging, hanya fokus kepada topik yang diminati dan tumpukan kepada topik yang menjadi kepakaran anda sahaja supaya ia akan memberikan anda semangat untuk terus berblog, menjadikan isikandungan blog lebih tulen dan pendapatan akan dapat dijana di peringkat seterusnya setelah orang mula berasa yakin dan seronok dengan apa yang anda tuliskan. Saya akan biarkan anda berfikir dan anda sendiri menentukan kaedah yang bagaimana untuk digunakan. Adalah sebaik-baiknya anda mempertimbangkan kedua-dua kaedah tersebut sebelum membuat sebarang keputusan. Pada saya adalah lebih baik berblog dengan memberi tumpuan kepada topik yang saya gemari :) .

2. Berikan Cabaran Kepada Diri

Anda mungkin pakar dalam topik yang ingin ditulis dalam blog, perkara negatifnya adalah lama-kelamaan  anda mungkin boleh berasa bosan kerana anda menulis dari sudut penulisan yang sama sepanjang masa. Lebih baik keluar dari zon selesa sekali-sekala, pelajari perkara-perkara yang kompleks tentang topik anda dan berikan beberapa topik dengan fakta-fakta menarik dan tidak disangka-sangka yang anda jumpa supaya pembaca blog akan berasa teruja dan secara tidak langsung akan meningkatkan kredibiliti anda di mata pembaca disebabkan usaha anda mempersembahkan suatu kelainan kepada mereka.

3. Cipta Gaya Anda Tersendiri

Apabila menulis, membina reputasi dan kredibiliti melalui gaya penulisan adalah amat penting. Ini akan menjadikan blog anda unik dan ada gaya tersendiri berbanding dengan blog orang lain. Jika anda menulis sesuatu topik mengenai subjek yang teknikal, cuba fikirkan cara untuk mempermudahkan gaya penulisan anda supaya pembaca yang bukan dari kalangan teknikal juga seronok untuk membacanya, ini disebabkan sesetengah pembaca kurang minat untuk meneruskan pembacaan disebabkan penggunaan perkataan yang terlalu teknikal dan rumit. Mencipta gaya penulisan tersendiri akan menjadikan kurang persaingan. Ini kerana banyak blog lain yang akan turut membincang topik yang sama dengan anda. Disebabkan keunikan penulisan andalah yang menjadikan anda lebih dikenali, ‘stand out’ dan lebih popular berbanding dengan blog-blog yang lain.

4. Tunjukkan Minat Dan Kredibiliti

Membina reputasi anda dalam blogging amatlah penting. Anda perlu membina dan mendapatkan kepercayaan dari pembaca sebelum mereka membaca dan mempercayai apa yang anda tuliskan. Sebagai contoh sekiranya anda berblog mengenai ‘Pemeliharaan Alam Sekitar‘, maka anda betul-betul perlu meyakinkan pembaca bahawa anda sangat berminat dan bersungguh-sungguh dalam kepentingan pemeliharaan alam persekitaran. Anda juga perlu meyakinkan kepada pembaca sejauh mana pencapaian dan penglibatan anda berkaitan topik tersebut. Pembaca boleh menghidu sebarang bentuk penipuan atau kepura-puraan dan ini akan menyebabkan kredibiliti anda musnah. Pengunjung yang mengunjungi blog akan berasa tertarik tentang topik yang ditulis dan sekiranya anda tidak memberi tumpuan yang serius jadi bagaimana mungkin mereka membaca dan mengikuti isikandungan blog anda?

5. Ketahui Siapa Pembaca Anda

Jika anda betul-betul memahami kehendak, minat dan motivasi para pembaca, ia akan menjadikan kerja menulis lebih mudah dan pembaca akan lebih menghargai apa yang anda tuliskan. Pengunjung akan melayari blog kerana ingin mempelajari sesuatu atau mencari penyelesaian berhubung dengan sesuatu topik, maka anda perlulah memenuhi keperluan terhadap apa yang mereka cari. Cuba letakkan diri anda dalam situasi mereka dan cuba cari jalan bagaimana untuk memenuhi kehendak mereka.

6. Lakukan Secara Konsisten

Konsisten atau penulisan secara berterusan merupakan kunci kejayaan bagi blogger. Jadikan ianya sebagai rutin dengan menyiarkan artikel secara berkala. Lakukan ia dengan displin dan sistematik. Jangan riau tentang keuntungan apabila mula menulis. Cuba setkan pemikiran dengan meletak dan menambah nilai kepada blog anda dengan cara yang konsisten dan selepas itu barulah mudah anda menjana pendapatan darinya.

7. Lengkap, Padat Dan ‘Straight To The Point’

Muslihatnya adalah cuba tarik perhatian pembaca dengan pantas. Statistik menunjukkan kebanyakan pengunjung blog hanya akan meneruskan pembacaan dalam tempoh masa beberapa saat pertama apabila mereka masuk ke dalam blog anda. Caranya adalah dengan menghasilkan penulisan yang mempunyai struktur yang menarik dengan menggunakan perenggan-perenggan pendek, penggunaan ‘bullet’ dan ‘numbering’akan memudahkan pembacaan. Jangan lupa juga untuk menggunakan ‘sub-heading’ supaya pembaca dengan mudah dapat menjumpai maklumat yang mereka cari. Cuba tidak lari dari tajuk dan sekiranya anda meletakkan maklumat yang tidak berfaedah atau tiada sangkut-paut, pembaca akan hilang minat untuk mengunjungi blog anda lagi.

8. Semak Hasil Tulisan Sebelum ‘Publishing’

Saya sering kali tidak sabar untuk menyiarkan hasil penulisan di waktu mula-mula berblogging dahulu. Anda perlu memberi sedikit masa untuk menyemak apa yang telah ditulis supaya tiada kesalahan tatabahasa, salah ejaan dan susunan ayat tunggang-langgang. Menyemak dahulu hasil penulisan amat penting. Menyiarkan hasil tulisan dengan kesalahan ejaan dan tatabahasa akan menjatuhkan kredibiliti anda. Jadi luangkan sedikit masa untuk menyemak tulisan anda sebelum menyiarkannya. Kalau boleh baca berulang kali sehingga rasa puas hati. Anda juga boleh meminta rakan atau ahli keluarga menyemak dahulu apa yang telah anda tulis. Ini kerana menyemak dengan tanpa bantuan orang lain akan menyukarkan anda mengetahui kesalahan penulisan sendiri.

9. Penglibatan Para Pembaca Dalam Blog

Seperti apa yang telah saya katakan, blog yang anda hasilkan perlulah ada ruang-ruang interaktif. Ini membezakan blog dengan laman website yang lain. Website biasa lebih statik tanpa memberi ruang komunikasi dua hala. Itu sebabnya blog lebih popular kerana ada ruang dalam blog yang membolehkan pembaca melibatkan diri dalam topik yang anda tuliskan. Melalui interaksi, anda mencipta suatu ikatan yang baik dengan pembaca. Jadi cuba sebolehnya berikan ruang untuk pembaca turut serta dalam blog anda seperti meminta mereka meninggalkan komentar, kuiz, soal selidik mudah dan sebagainya.

10. Membalas Komentar Pembaca

Amalkan membalas komentar yang telah ditulis oleh pembaca. Cuba bayangkan pembaca mengambil sedikit ‘effort’ dan meluangkan sedikit masa untuk menulis komentar, apa salahnya jika anda membalas apa yang mereka lakukan dengan sekurang-kurangnya memberikan sedikit ucapan ‘Terima Kasih’ atau lebih baik lagi menjawap soalan-soalan yang mereka kemukakan. Jika anda mempunyai blog yang benar-benar popular dan mendapat terlalu banyak komentar setiap hari, jadi tidak praktikal sekiranya membalas semua komentar tersebut. Apa yang perlu anda lakukan adalah menjawap atau membalas sahaja secara umum supaya dapat menunjukkan anda juga memberi ‘respond’ terhadap mereka


--DONE--

3 comments:

shue said...

i like! :)

Suara Hati Ini.... said...

wah..nice info...

Nurul Hidayah said...

erynakim : ehe..tengs

suara hati : ehe..pe agy..ikot pe dye suh 2..ehehe